Selamat Datang ke Laman Sesawang Jabatan Pertanian Negeri Melaka

Pewasapan merupakan kaedah rawatan yang digunakan dengan meluas di kebanyakan negara dalam menghapuskan perosak dan penyakit hasil tanaman. Walau bagaimanapun, kaedah pewasapan terutamanya yang menggunakan gas methyl bromide (CH3Br) diketahui mempunyai kesan negatif terhadap alam sekitar. Pewasapan masih dianggap sebagai kaedah yang sesuai untuk menangani perosak dan penyakit hasil tanaman. Protokol Montreal masih lagi membenarkan penggunaan methyl bromide dalam aktiviti pewasapan, terutamanya dalam rawatan “pre shipment” dan kuarantin.

Banyak negara mengkehendaki komoditi-komoditi tertentu difumigasi sebelum dieksport. Sebagai bukti dan pengesahan bahawa komoditi-komoditi tersebut telah melalui proses pewasapan, negara-negara pengimport memerlukan syarikat pewasapan atau badan pelulus sesebuah negara mengeluarkan sijil pewasapan yang mengesahkan dengan lengkap bahawa rawatan tersebut telah dijalankan terhadap komoditi berkenaan.

Pewasapan yang tidak efektif akan memberikan impak yang negatif terhadap perdagangan eksport dan integriti hasil produk pertanian Malaysia dipersoalkan di peringkat antarabangsa.

Malaysia komited dalam menangani isu pewasapan kuarantin yang tidak efektif untuk tujuan eksport. Sehingga kini, Malaysia telah mewujudkan Skim Akreditasi Pewasapan (dikenali sebagai Skim) untuk syarikat pewasapan yang menjalankan rawatan pewasapan untuk eksport dalam memastikan bahawa segala keperluan dan syarat pewasapan dipenuhi seiring dengan standard bertaraf dunia yang digariskan dalam Australia Methyl Bromide Fumigation Standard (disebut sebagai Standard).

Senarai Syarikat Pewasapan Bertauliah

Carta Alir Akreditasi Syarikat Pewasapan Di Bawah Skim Perakuan Pensijilan Pewasapan Malaysia

Artikel ini bertujuan menerangkan garis panduan untuk dipatuhi oleh syarikat-syarikat pewasapan dalam menjalankan pewasapan kuarantin untuk komoditi eksport menggunakan gas methyl bromide di bawah Skim
Artikel ini terhad kepada rawatan dagangan, di bawah syarat-syarat kuarantin dengan pewasapan gas methyl bromide sahaja. Jenis-jenis dagangan adalah seperti :
  • Kargo umum; dan
  • Balak
Protokol Pendaftaran
Untuk diakreditasi ke dalam Skim, syarikat pewasapan hendaklah mempunyai fumigator berlesen yang sah. Syarikat dengan fumigator berlesen akan didaftar dengan satu nombor ID unik. Syarikat juga diwajibkan merekod nombor tersebut dalam setiap sijil rawatan yang mematuhi syarat-syarat Jabatan Pertanian.

Jabatan Pertanian adalah pendaftar tunggal syarikat pewasapan dan juga fumigator berlesen.

Akreditasi akan diberikan selama dua (2) tahun. Fumigator yang telah diakreditasi dikehendaki memohon untuk pembaharuan akreditasi dalam masa tiga (3) bulan sebelum tarikh luput. Jabatan Pertanian akan menjalankan audit bagi pembaharuan tersebut berdasarkan permohonan.

Jika ada sebarang perubahan melibatkan syarikat pewasapan dan fumigator berlesen, ianya hendaklah dimaklumkan kepada Jabatan Pertanian secara bertulis. Sekiranya integriti rawatan pewasapan tidak dapat dikekalkan, Jabatan Pertanian berhak membatalkan akreditasi tersebut

Syarikat pewasapan adalah bertanggungjawab :
  • Memastikan pewasapan mengikut peraturan, kod keselamatan, syarat pelesenan serta undang-undang yang berkaitan;
  • Memastikan pewasapan mengikut standard;
  • Memastikan hanya fumigator yang diakreditasi sahaja yang dibenar melakukan pewasapan;
  • Memastikan barang yang difumigasi dengan gas methyl bromide adalah sesuai dan dibenarkan;
  • Memastikan pewasapan dijalankan di dalam kontena atau ruang kedap udara yang tertutup;
  • Memastikan fumigator berlesen memiliki pengetahuan yang diperlukan; dan
  • Membantu dan bekerjasama dengan Jabatan Pertanian jika terdapat sebarang pertanyaan mengenai prosidur atau dagangan tertakluk kepada Skim ini.
Sistem audit seperti yang digariskan berikut adalah dibuat untuk memastikan prestasi syarikat pewasapan dan fumigator berlesen mematuhi segala peraturan Skim dan prosidur yang terkandung di dalam Skim.
Audit dijalankan setelah syarikat menjalani latihan serta telah dinilai sebagai kompeten untuk menyertai Skim. Audit ini akan berterusan sehingga syarikat dan fumigator berjaya membuktikan yang mereka benar-benar kompeten dalam mengikuti keperluan Skim dan Standard.
Audit ini dijalankan oleh pegawai Jabatan Pertanian dalam tempoh masa 12 bulan selepas syarikat dihubungi dan temujanji berkenaan tarikh dan masa audit telah dibuat.
Audit tanpa makluman atau notis daripada Jabatan Pertanian yang dilakukan setiap tiga (3) bulan sekali.
Audit ini dijalankan oleh Jabatan Pertanian setelah satu tempoh penggantungan dikenakan terhadap syarikat yang gagal mematuhi syarat dan peraturan Skim atau Standard.

Sekiranya semasa audit ini syarikat atau fumigator berlesen gagal menunjukan bahawa syarat serta peraturan Skim dan Standard dipatuhi, penggantungan tersebut akan diteruskan dan syarikat perlu menulis surat tunjuk sebab sekiranya ingin kekal dalam Skim.

Kriteria audit dibahagikan kepada tiga (3) tahap ketidakpatuhan iaitu minor, major dan kritikal. Ketidakpatuhan yang kritikal akan menyebabkan penggantungan daripada skim. Major dan minor pula memerlukan syarikat mengikuti dan mematuhi langkah-langkah pembetulan serta diaudit.

Jabatan Pertanian akan memaklumkan syarikat pewasapan dan fumigator berlesen secara bertulis mengenai sebarang ketidakpatuhan serta menasihati syarikat dan fumigator tersebut sehinggalah peraturan Skim dan Standard dipatuhi. Satu notis mengenai langkah-langkah pembetulan semula yang akan perlu diambil akan dikeluarkan kepada syarikat dan fumigator.

Sebagai panduan, definasi ketidakpatuhan adalah seperti berikut :

a) Ketidakpatuhan MINOR :
  • Pelanggaran prosidur yang dibuktikan tidak menjejaskan pewasapan yang dijalankan merujuk kepada Standard.
    (2 kesalahan MINOR bersamaan 1 kesalahan MAJOR)
b) Ketidakpatuhan MAJOR :
  • Pelanggaran prosidur yang dibuktikan akan menjejaskan pewasapan yang dijalankan tertakluk kepada Standard dan/atau perundangan.
    (2 kesalahan MAJOR bersamaan 1 kesalahan KRITIKAL)
c) Ketidakpatuhan KRITIKAL :
  • Pelanggaran serius prosidur yang berlaku apabila syarat dan peraturan Skim, Standard dan perundangan tidak dipatuhi yang mana akan juga menggagalkan pewasapan yang dijalankan.
Syarikat pewasapan diwajibkan memiliki permit dan lesen yang berkaitan daripada pihak yang berkenaan merujuk kepada peraturan-peraturan yang sedia ada.
Lesen dan permit adalah termasuk :
  • Pihak Berkuasa Tempatan (Lesen/Permit Majlis Tempatan)
  • Lesen Penyimpanan racun dari pihak Lembaga Racun Makhluk Perosak (LRMP)
  • Dokumen Pendaftaran Syarikat daripada Pertubuhan Pendaftaran
  • Lesen Pengendali Racun Makhluk Perosak
Syarikat hendaklah mempunyai carta organisasi yang menerangkan tugas dan tanggungjawab pekerja dengan jelas. Secara asasnya, carta organisasi hendaklah bermula dengan pengurus syarikat (atau setaraf) yang mempunyai autoriti dan sumber dalam menjalankan tugasnya, pengarah teknikal (atau setaraf) yang bertanggungjawab dalam segala aktiviti teknikal pewasapan.

Syarikat juga perlu mempunyai pekerja yang mencukupi dalam menjalan aktivitinya. Sebagai contoh, bagi setiap satu aktiviti pewasapan sekurang-kurangnya dua orang pekerja diperlukan termasuk fumigator berlesen. Pengurusan syarikat dan pemegang lesen pewasapan haruslah mengetahui tentang :

  • Undang-undang tempatan mengenai lokasi pewasapan;
  • Syarat dan peraturan Standard;
  • Tanggujawab seorang fumigator;
  • Keperluan melibatkan semua pihak dalam aktiviti pewasapan; dan
  • Akses kepada bekalan Methyl Bromide.
Pengurus Teknikal (atau setaraf) mesti mempunyai kelayakan berikut:
  • Minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Malaysia Certificate of Education (MCE) atau setaraf; dan
  • Lesen Pengendali Racun Perosak atau Pesticide Applicator Licence (PAL), Lesen Pembantu Pengendali Racun Perosak atau Assisstant Pesticide Applicator Licence (APAL).
  Fumigator berlesen perlu menjalani latihan akreditasi dan dinilai sebagai kompeten. Syarat-syarat berikut haruslah dipatuhi:
  • Memiliki lesen pewasapan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia;
  • Hadir semasa pewasapan dijalankan;
  • Sedar dan tahu mengenai komodoti yang dibenarkan dan tidak dibenarkan untuk pewasapan gas Methyl Bromide;
  • Boleh menjalankan ujian/kaedah dalam memastikan sesuatu pewasapan itu berjaya;
  • Boleh mengenalpasti sama ada sesuatu pewasapan itu berjaya atau sebaliknya;
  • Mengetahui tentang bahaya dan ancaman dalam penggunaan gas Methyl Bromide;
  • Mengetahui cara melakukan ujian tekanan gas;
  • Mengetahui tentang cara-cara pengiraan kepekatan gas serta pemantauan gas semasa pewasapan; dan
  • Disahkan sebagai kompeten oleh Jabatan Pertanian Malaysia serta mempunyai kelayakan PAL atau APAL.
Ruang Tertutup (Enclosure)
  • Klip untuk memegang tarpaulin;
  • Kipas untuk pengudaraan;
  • Tarpaulin atau sheet dengan kadar penembusan 0.02 gram per day per square meter;
  • Pita pengukur untuk pengiraan isipadu ruang tertutup;
  • Pita pelekat untuk membaiki sebarang kebocoran sheet;
  • Tali untuk mengikat tarpaulin dari tercabut;
  • Sand atau water snakes;
  • Alat pengukur suhu/thermometer; dan
  • Pelapik untuk menutup bucu kontena.
Penyaluran Gas
  • Paip penyalur gas untuk menyalurkan gas methyl bromide daripada vapouriser;
  • Gas fitting untuk menyalurkan methyl bromide dari silinder gas ke vapouriser;
  • Gas supply line untuk menyalurkan gas methyl bromide di dalam ruang tertutup (enclosure); dan
  • Gas vapouriser yang menggunakan gas LPG atau elektrik.
Memantau Kepekatan Gas
  • Alat pemantau kepekatan gas yang sesuai dan mampu mendapatkan bacaan kepekatan gas methyl bromide; dan
  • Sampling line untuk mendapatkan bacaan kepekatan gas.
Syarikat pewasapan dikehendaki memastikan semua rekod dan dokumen berkaitan dengan kerja-kerja pewasapan, peralatan dan pemantauan serta pembelian stok disimpan secara tersusun dan sentiasa dikemaskini. Rekod-rekod adalah seperti berikut:
  • Rekod pembelian alat pengukur gas dan pengesan kebocoran;
  • Rekod kalibrasi peralatan yang memerlukan kalibrasi;
  • Rekod pendaftaran dan perundangan syarikat;
  • Rekod salinan sijil-sijil pewasapan yang dikeluarkan; dan
  • Rekod penggunaan canister gas dan stok pembelian gas methyl bromide.
Rekod yang relevan kepada rawatan pewasapan hendaklah disimpan dengan kemas dan teratur. Segala aktiviti pewasapan hendaklah direkod untuk rujukan dan tujuan audit. Rekod-rekod adalah seperti:
  • Borang tentang maklumat setiap pewasapan yang dijalankan;
  • Borang penggunaan running number;
  • Borang pemberitahuan melakukan pewasapan;
  • Laporan servis pewasapan yang mengandungi maklumat seperti nombor rujukan, permit import, sijil fitosanitasi eksport, nama dan alamat pengeksport, maklumat konsainmen, negara pengeksport, nama pengimport, maklumat rawatan dan sebagainya.
Syarikat pewasapan dan fumigator berlesen yang melanggar syarat dan peraturan pewasapan serta gadal dalam menjalankan rawatan akan digantung serta merta. Surat tunjuk sebab hendaklah dikemukakan sebelum audit semula boleh dijalankan.

Jika semasa sebarang audit dilakukan terdapat satu atau lebih ketidakpatuhan yang kritikal, lebih dari dua kesalahan major dan empat atau lebih kesalahan minor, syarikat dan fumigator akan digantung daripada skim. Audit semula perlu dijalankan dan sekiranya perlu, dilatih semula.

Jika semasa audit, kurang dari empat ketidakpatuhan minor didapati, syarikat dan fumigator berlesen perlu mematuhi langkah pembetulan semula yang disyorkan dan diaudit sekali lagi dalam masa 6 minggu untuk memastikan langkah pembetulan dipatuhi. Jika semasa audit susulan tersebut berlaku lagi ketidakpatuhan, syarikat perlu diaudit semula dan sekiranya masih gagal akan digantung daripada Skim dan dalam masa 6 bulan sekiranya syarikat menunjukkan kepatuhan dan kompeten terhadap skim, audit penyertaan semula akan dijalankan. Latihan semula juga disyorkan.

Akreditasi syarikat pewasapan akan dibatalkan sekiranya :

  • Syarikat digantung dalam 3 situasi yang berlainan.
  • Semasa audit penyertaan semula berlaku satu ketidakpatuhan major atau yang sama dengannya.
  • Apabila akreditasi syarikat dibatalkan, sebelum syarikat diakreditasi semula, fumigator berlesen hendaklah mengikuti latihan dan syarikat akan diaudit untuk permulaan.
Adalah sekiranya terdapat keadaan di mana ketidakpatuhan berlaku ekoran dari sebab-sebab yang munasabah dan boleh diterima, rayuan boleh dikemukakan.

Tujuan protokol rayuan ini diadakan untuk menyediakan kaedah rayuan oleh syarikat dan fumigator berlesen sekiranya berlaku keadaan tersebut.

Proses Rayuan
Rayuan hendaklah dikemukan secara bertulis oleh syarikat pewasapan atau fumigator berlesen.

Surat rayuan hendaklah menerangkan dengan jelas dan jujur mengenai sebab serta alasan rayuan tersebut.

Jabatan Pertanian akan meneliti kes rayuan dalam masa 5 hari bekerja dan akan membuat keputusan bertulis terhadap rayuan tersebut dalam masa 15 hari berkerja bermula tarikh penerimaan rayuan tersebut.

Sebarang pertanyaan, permohonan atau rayuan boleh dikemukakan kepada :
Urusetia
Skim Pensijilan Pewasapan Malaysia (MAFAS)
Unit Perundangan
Seksyen Penguatkuasaan
Bahagian Biosekuriti Tumbuhan
Jabatan Pertanian,
Wisma Tani Jalan Sultan Salahuddin,
50632 Kuala Lumpur.
No. Tel : 03-2030 1400 / 1412
No. Faks : 03-2691 3530